mutakhir

Enam bulan untuk 'bersihkan' mini Arakan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“BERI masa enam bulan untuk kami 'bersihkan' peniaga Rohingya.”

Itu fokus Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk terus menjalankan operasi membanteras peniaga tanpa lesen yang sudah bermaharajalela di beberapa pasar sejak sekian lama.

Biarpun ia mengundang pelbagai reaksi terutama kepada pihak yang bersimpati dengan nasib golongan itu, isu berkenaan tetap diberi keutamaan kerana DBKL mempunyai tanggungjawab untuk 'membersihkan' lokasi itu dari menjadi mini Arakan di ibu negara.

Pengarahnya Azman Mahmood berkata, sejak beberapa bulan lalu, pemantauan berkala anggotanya mendapati peniaga etnik Rohingya memonopoli sebahagian besar pasar harian Selayang dan meletakkan stok sayur di dalam kenderaan terbiar di tepi jalan menyebabkan gangguan lalu-lintas di situ.

Katanya, mereka juga seakan-akan kebal apabila masih meneruskan aktiviti perniagaan di situ biarpun DBKL mengadakan operasi dan menyita kenderaan buruk yang digunakan sejak beberapa bulan lalu.

Terbaru, pihaknya menyita lapan kenderaan buruk yang dijadikan stor sayur di pasar itu semalam dan dihantar ke Depoh BDKL di Taman Connaught, tindakan sama dilakukan secara berkala sejak pertengahan tahun lalu.

“Etnik Rohingya yang berniaga di pasar di Kuala Lumpur ada 3,100 orang yang memegang kad pelarian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). Daripada jumlah itu, hanya 100 orang yang pandai berbahasa Melayu dan faham budaya orang tempatan.

“Biarpun kita berdepan pelbagai reaksi masyarakat terutama netizen, saya ingin tegaskan, kita menjalankan tugas seperti diamanahkan.

“Kita pun tahu, isu peniaga etnik Rohingya ini seolah-olah tak berkesudahan, tetapi penguat kuasa akan terus menggempur mana-mana lokasi di bawah pemantauan kami untuk memastikan tiada lagi mereka yang berniaga tanpa kebenaran,” katanya.

Azman berkata, pihaknya mengalu-alukan maklum balas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kebajikan etnik Rohingya untuk mencari jalan penyelesaian isu terbabit dan bersama-sama DBKL menangani isu lambakan peniaga di beberapa pasar di ibu negara.

Katanya, rekod mendapati, terdapat 29,000 etnik Rohingya di Kuala Lumpur dan mereka kebanyakannya mencari rezeki dengan berniaga serta mengambil upah sebagai pekerja am, namun pihaknya juga menerima aduan daripada orang awam yang tidak selesa dengan kebanjiran golongan terbabit.

"Sebab itu kita perlukan kerjasama daripada semua pihak. Kita tetap akan teruskan operasi ini, tetapi pada masa sama, mereka ini perlu diberi ruang untuk mencari rezeki. Dari segi undang-undang, kita tidak akan bertolak-ansur kerana kita ada Prosedur Operasi Standard (SOP), kita kena ikut," katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 9:31pm
d