mutakhir

Menyamar penjawat awam kemudian samun

Oleh Nurul Amanina Suhaini

TINDAKAN empat individu termasuk seorang wanita tempatan yang menyamar sebagai kakitangan awam untuk menyamun berjaya ditumpaskan polis hasil beberapa siri tangkapan, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kesemua suspek berusia antara 31 hingga 42 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan selepas pihaknya menerima laporan kejadian samun, Selasa lalu.

Katanya, dalam serbuan pertama kira-kira 11 pagi semalam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan dua lelaki dan seorang wanita di tepi Jalan Mariamah, Johor Bahru.

“Hasil soal siasat, pada jam 2 petang hari sama, kami menahan seorang lagi suspek di tepi Jalan Undan 9, Taman Perling.

“Selain itu, kami merampas pelbagai barangan dipercayai hasil samun dan hasil soal siasat mendapati, kumpulan berkenaan bergiat aktif sejak 2016 dengan mensasarkan warga asing dan perempuan sebagai mangsa samun.

“Hasil soal siasat, kesemua suspek mengaku menyamun serta menyamar sebagai penjawat awam di sekitar daerah ini membabitkan 12 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahurinain berkata, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk topi mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM), lambang Penjara Malaysia, dua keping kad pas lambang Penjara Malaysia, jaket keselamatan tertulis Unit Keselamatan SUKJ, sarung tangan warna hitam dan telefon bimbit.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati, dua daripada empat suspek berusia 38 dan 41 tahun positif dadah jenis methapethamine.

Menurutnya, semua suspek direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Selain itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 9:43pm
d