mutakhir

Gunung Baling terbakar lagi

Oleh Safuri Kamaruddin

MALIM gunung kesal dengan tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan hutan di Gunung Baling, Kedah terbakar sehingga memusnahkan pokok dan khazanah alam.

Ketua Malim Gunung, Nor Azman Ishak, 52 berkata, kejadian kemungkinan berpunca daripada pendaki yang membuang puntung rokok dan tidak memadam sepenuhnya menyebabkan kesan api merebak cepat dalam keadaan cuaca yang panas dan mudah terbakar.

“Walaupun mereka anggap perkara biasa tetapi musim panas dan daun kering mudah berlaku kebakaran.

“Pada 2016, Gunung Baling dan Pulai sudah terbakar dan banyak pokok musnah.

“Kami terpaksa memberi kerjasama membantu memadam kebakaran supaya ia tidak merebak selain mengekalkan keindahan Gunung Baling yang kerap dikunjungi pelancong dari luar,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa menggunakan helikopter MI17 untuk memadam api di Gunung Baling yang terbakar sejak semalam.

Anggota agensi keselamatan berhadapan kesukaran memadamkan kebakaran berikutan ketiadaan sumber air mencukupi.

Sejak semalam, seramai 101 anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan malim gunung terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran secara manual.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba, Zamani Ismail berkata, seramai 101 anggota keselamatan terbabit dalam operasi memadamkan api dan bara di kawasan seluas kira-kira 600 meter persegi.

Katanya, anggota keselamatan hanya dapat membawa peralatan pemukul api bagi memadamkan kebakaran kerana kesukaran membawa alat pemadam ke kawasan terbakar yang berada pada ketinggian 260 meter.

“Kita hanya dapat mengawal api dari terus merebak ke kawasan lebih besar terutamanya ke kawasan penempatan berdekatan di kaki gunung.

“Helikopter pemadam api jenis MI17 mengambil air di Kolam Kampung Bandar kira-kira 10 kilometer dan mampu membawa 1,600 liter air untuk memadam kebakaran.

“Sekiranya api tidak padam juga operasi disambung hari esok dan operasi ditangguh jam 6 petang,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 11:06pm
d