mutakhir

Lelaki kurang siuman buat hal...

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

SEORANG lelaki kurang siuman patah kedua-dua tangannya apabila terbabit dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada ditahan orang ramai selepas dipercayai melarikan lori tiga tan di FELDA Jengka 9, Bandar Pusat Jengka, Maran, kelmarin.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, suspek dikatakan dikejar beberapa rakan pemilik lori berkenaan hingga ke ladang kelapa sawit sebelum lori dipandunya hilang kawalan dan melanggar pokok kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan, Norzamri Abd Rahman, berkata siasatan pihaknya mendapati suspek lelaki berusia 39 tahun ditahan orang ramai bersama lori dilarikannya.

“Berdasarkan keterangan pemilik lori terbabit, lorinya ditinggalkan di sebuah rumah kedai di Jengka 9, pada Sabtu lalu sebelum menyedari kenderaannya tiada di tempat asal pada kelmarin.

“Pemilik lori berkenaan meminta bantuan rakannya untuk mengesan lori itu sebelum berjaya menemuinya bersama suspek yang terbabit dalam kemalangan ketika usaha menahannya cuba dilakukan orang ramai,” katanya.

Norzamri berkata, suspek yang juga orang kurang siuman kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, suspek kini dirawat di Hospital Jengka selepas patah kedua-dua tangannya selain beberapa luka di bahagian kaki.

“Suspek akan menerima rawatan psikiatri di hospital sama dan berada dalam pemantauan polis.

“Pemandu lori berusia 32 tahun berkenaan yang turut mengenali suspek sudah membuat laporan polis dan meminta lelaki terbabit tidak dikenakan tindakan lanjut disebabkan statusnya sebagai orang kurang siuman,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 12:58am
d