mutakhir

Padah berjudi

Oleh Norasikin Daineh

SERAMAI 60 individu ditangkap dalam 15 siri serbuan membabitkan kegiatan perjudian haram dalam Ops Limau yang dilaksanakan di Sabah sepanjang 1 Februari sehingga kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, turut dirampas wang tunai RM71,000 dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian tidak berlesen yang dianjurkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

“Hasil maklumat orang awam dan risikan, ada pihak yang didapati menganjurkan aktiviti perjudian sempena perayaan ini dan Ops Limau dilancarkan di seluruh negara bagi mengekang aktiviti ini.

“Hasil serbuan bermula 1 Februari lalu berjaya menahan seramai 60 individu dalam 15 serbuan dan sebanyak RM71,000 wang tunai dirampas,” katanya ketika dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kota Kinabalu, semalam.

Omar dalam pada itu turut berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah turut berjaya membanteras kegiatan perjudian sepanjang 2018 dengan merekodkan pencapaian sebanyak 799 serbuan berbanding 604 serbuan pada 2017.

“PDRM Sabah berjaya merekodkan pencapaian mengekang kegiatan perjudian haram di Sabah dengan sebanyak 799 serbuan dan 1,447 tangkapan serta RM718,000 wang tunai yang dirampas.

“Tangkapan ini didapati meningkat berbanding 2017 dan daripada 799 serbuan itu, lebih daripada 50 peratus kes telah dituduh di mahkamah yang mana ada yang mengaku bersalah dan ada yang minta dibicara,” katanya.

Katanya lagi, polis akan terus bertindak bagi meningkatkan usaha membanteras sebarang aktiviti perjudian yang tidak berlesen dan mengambil tindakan sewajarnya di negeri ini.

“Kita akan kerah semua pasukan untuk bergerak mengesan kegiatan perjudian ini dan menyeru orang awam supaya memberikan maklumat berhubung kegiatan ini.

“Orang ramai juga diminta tidak terbabit dengan kegiatan ini dan sekiranya dikesan terdapat sindiket menganjurkan aktiviti mesin perjudian haram, boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 10:26am
d