mutakhir

14 pingat emas, 24 perak, 30 gangsa

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SERAMAI 250 penyelidik muda Malaysia daripada 27 sekolah rendah dan menengah berjaya mengharumkan nama negara apabila mendominasi pingat Pameran Inovasi, Harta Intelek, dan Teknologi Antarabangsa (IPITEX 2019) di Bangkok pada 2 hingga 6 Februari lalu.

Ketua Delegasi Malaysia ke pameran itu, Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, kontinjen Malaysia membawa pulang 14 pingat emas, 24 perak dan 30 gangsa.

Katanya, kontinjen Malaysia terpaksa berhempas pulas pada pameran kali ini berikutan beberapa negara besar dan maju turut menyertainya seperti Kanada, Jepun, Korea Selatan, China dan India.

“Bagaimanapun kita berjaya menyerlah pada pameran itu selepas kesemua penyelidik muda negara berjaya memperoleh pingat bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

“Antara yang paling membanggakan ialah hasil inovasi ‘Ice Cage’ yang dihasilkan oleh empat pelajar daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Intergrasi Rawang, Selangor.

“Mereka, Muhammad Amir Mohamad Ghazaly, Muhammad Arif Mohamad Ghazaly, Nur Auni Afiqah Mohd Johari dan Nur Ain Nasirah Zamri berusia 16 tahun berjaya menghasilkan ais minuman yang tidak akan habis dan boleh diguna berulang kali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Mustafa berkata, Ice Cage adalah produk yang berbentuk rod yang berisi larutan tepu di dalamnya.

“Jika pengguna ingin menggunakan Ice Cage, mereka hanya perlu meletakkannya di dalam peti sejuk sehingga larutan di dalamnya beku.

“Kemudian ia diletakkan ke dalam air minuman untuk disejukkan dan sekiranya larutan di dalam Ice Cage mencair sepenuhnya, pengguna boleh meletakkannya kembali ke dalam peti sejuk sejuk tanpa memerlukan air yang baharu, kerana air akan kekal di dalam rod,” katanya.

Beliau berkata, hasil ciptaan empat penyelidik muda terbabit berjaya meraih Anugerah Rekacipta Muda IPITEX 2019 bagi kategori Rekacipta dan Inovasi Terbaik dalam Industri.

“Juri berpendapat bahawa hasil ciptaan mereka dapat menjimatkan penggunaan air kerana tidak ada penggunaan air yang berterusan bagi menghasilkan ais sekaligus menjimatkan kos khususnya dalam industri makanan,” katanya.

Pada pameran itu, 27 negara lain turut menyertainya seperti, Thailand, Vietnam, Iran, Indonesia, Taiwan, Croatia dan Filipina.

Sebanyak 27 sekolah yang mewakilinegara mendapat penyeliaan di bawah penasihatan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS).

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 12:06pm
d