mutakhir

'Peka isu mengelirukan umat Islam'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PERSATUAN Usahawan India Muslim (PERUSIM) meminta semua ahli di bawah persatuan itu supaya lebih peka dengan isu-isu mengelirukan umat Islam.

Setiausahanya, Hussien Ibrahim berkata, tindakan itu dilihat mampu mengelak perkara sama berulang pada masa hadapan hingga boleh menjejaskan perniagaan mereka.

“Kami arahkan semua tuan punya kedai peka isu-isu yang mengelirukan umat Islam supaya tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya mengulas isu tular video berdurasi pendek membabitkan seorang lelaki memegang api di restoran milik ahlinya di Bandar Putra, Kulai, baru-baru ini.

Katanya, persatuan itu tidak sama sekali berkompromi dalam isu-isu sensitif seperti itu.

Malah katanya, pemilik restoran terbabit disarankan membuat laporan polis, apatah lagi perbuatan dilakukan mengakibatkan perniagaan terjejas, selain mengaibkan diri pemilik restoran itu.

“PERUSIM meminta pemilik restoran mengambil tindakan segera terhadap pekerja dan individu yang tularkan klip video berkenaan.

“Kami juga kesal dengan tindakan pekerja itu (melakukan aktiviti di luar kedai tanpa pengetahuan pemilik yang keluar negara untuk sertai ijtima’ jemaah tabligh di India).

“Hanya mampu kami sarankan supaya pemilik restoran membuat laporan polis,” katanya mengulas lanjut mengenai isu terbabit.

Terdahulu video berdurasi 49 saat tular apabila memperlihatkan seorang lelaki berjalan tanpa selipar sambil membawa api melalui pagar besi tertera perkataan Prata Maju.

Kejadian berlaku tengah malam tanpa pengetahuan pemilik restoran ketika dia keluar negara selama tiga hari bagi menyertai ijtima’ jemaah tabligh di India.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan perniagaan dibina 17 tahun menerima tamparan hebat apabila restoran itu diboikot pelanggan Muslim sejak lima hari lalu.

Pemilik Restoran Prata Maju di Bandar Putra Kulai, Abul Barakath Khanifah, 44, sebaliknya menyifatkan perkara itu berlaku sebagai ujian Allah kepadanya, selain mengakui sudah memberhentikan pekerja terbabit.

Berita berkaitan

'Tauke pergi tabligh, pekerja buat hal'

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 12:09pm
d