mutakhir

Tergamak buang kucing dalam longkang

Oleh Ramli Ibrahim

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyelamatkan lapan anak kucing daripada lemas di longkang, hari ini.

Kucing itu dipercayai dibuang dalam longkang yang dipenuhi air kotor di Taman Mesra, Gua Musang, sebelum diselamatkan pada 9.20 pagi.

Pegawai APM Daerah, Mohd Yussalmi Yusoff berkata, tugas menyelamat anak kucing itu adalah yang kedua dalam minggu ini selepas seekor anak kucing terperangkap dalam enjin kereta.

Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 9.10 pagi dan dua anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai, kita mendapati lapan anak kucing terkandas dalam longkang yang dipenuhi air kotor.

“Anak kucing diangkat dan dibersihkan yang mengambil masa 20 minit,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Yussalmi berkata, walaupun tugas itu dianggap kecil pada pandangan masyarakat tetapi membawa pengertian yang cukup besar untuk menyelamatkan nyawa walaupun hanya anak kucing.

“Kita sebagai anggota penyelamat bukan sahaja bertugas untuk menyelamat nyawa manusia, tetapi juga haiwan dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau mengakui ada penduduk yang tidak suka dengan kucing yang berkeliaran dan menelefon anggotanya supaya menangkap haiwan itu sebelum dilepaskan ke kawasan yang selamat.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 1:25pm
d