mutakhir

2 suspek direman lima hari lagi

Oleh Hasbi Sidek

DUA lelaki warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan dua mayat terapung di sungai berhampiran kawasan perumahan di Desa Coalfields, Sungai Buloh, 26 Januari lalu, disambung reman lima hari lagi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, mahkamah membenarkan tahanan reman terhadap kedua-dua lelaki yang berusia antara 35 dan 40 tahun itu disambung sehingga 11 Februari depan.

“Dua lelaki warga asing yang ditahan untuk membantu siasatan kes penemuan dua mayat yang sudah reput di sebuah sungai baru-baru ini disambung reman selama lima hari bermula semalam sehingga 11 Februari depan.

“Dalam perkembangan lain, laporan bedah siasat terhadap dua mayat yang ditemui dalam keadaan tidak cukup sifat serta sudah reput itu juga masih belum diperolehi. Kami masih menunggu hasil bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan penemuan satu mayat lelaki dan satu mayat wanita di sungai berkenaan oleh orang awam pada 4 petang, pada 26 Januari lalu.

Kedua-dua mayat berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sempurna iaitu tiada kaki dan tangan dan sudah reput kerana dipercayai meninggal dunia kira-kira dua minggu.

Mayat dua mangsa terbabit dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dicampak di sungai berkenaan.

Malah, pihak polis melancarkan operasi bagi mencari serpihan tangan, kepala dan kaki dua mangsa berkenaan di sungai berkenaan sehari selepas penemuan dua mayat terbabit.

Bagaimanapun, operasi dilakukan oleh sepasukan unit skuba dan unit anjing pengesan (K9) daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu tidak menemui serpihan mayat terbabit.

Susulan itu, dua lelaki warga asing ditahan di sekitar Kuala Lumpur pada 29 dan 30 Januari lalu untuk membantu siasatan.

Berita berkaitan

Dua lelaki warga asing ditahan

'Mayat lelaki, wanita tanpa anggota badan'

'Operasi cari anggota badan mangsa bunuh dihentikan'

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 1:38pm
d