mutakhir

Peliknya angsa jantan bertelur

Oleh Nur Saliawati Salberi

“SAYA kira dua hari ‘Jeep’ diam kerana sakit tetapi sangkaan itu meleset apabila angsa jantan ini bukan sahaja bertelur malah turut mengeramkan telurnya,” kata pemilik angsa, Sulaiman Abd Rahman, 55.

Menurut Sulaiman, dia pelik apabila angsa jantan peliharaannya yang diberi nama Jeep itu tiba-tiba bertelur dan sehingga kini mengeramkan kesemua lapan biji telurnya sejak Isnin lalu.

Katanya, dia membela Jeep dan seekor lagi angsa betina diberi nama ‘Rose’ sejak setahun lalu selepas membelinya daripada saudara terdekat untuk menjaga kawasan rumah.

“Seminggu sebelum bertelur, gelagat Jeep sedikit berubah menjadi agak manja selain hanya makan di atas tapak tangan saya. Makanan di dalam bekasnya langsung tidak disentuh.

“Pagi Isnin ketika bermain dengan cucu di halaman rumah, saya pelik melihat Jeep berada dalam keadaan tidak bermaya di bawah rimbunan pokok serai wangi sebelum menyedari dia sedang bertelur,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jasin Bestari, Jasin, Melaka.

Terkejut dengan situasi itu, Sulaiman turut berkongsi kejadian itu kepada isteri dan anaknya tetapi mereka menyangkanya bergurau dan membuat lawak.

Katanya, telur yang dilihat Jeep mengeramkan adalah milik haiwan itu kerana Rose juga sedang mengeramkan telurnya buat kali ketiga di dalam reban.

“Ketika melihatnya pada jam 9.30 pagi terdapat hanya empat biji sebelum bertambah lagi tiga biji dalam hanya selang dua jam kemudian. Pagi ini saya lihat sudah ada lapan biji yang Jeep mengeramkan.

“Sejak hari itu Jeep hanya berada di bawah pokok serai wangi dan hanya sesekali masuk ke dalam rebannya untuk berendam apabila dipanggil oleh Rose,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini dia masih tidak percaya dan pelik dengan situasi dialaminya itu dan turut mendapatkan beberapa pandangan daripada rakan dan pengusaha angsa berpengalaman.

“Kalau kedua ekor angsa ini betina bagaimana Rose boleh bertelur. Saya pasti mereka adalah sepasang jantan dan betina berdasarkan perbezaan pada bahagian bawah perut.

“Saya juga ada bertanyakan kepada kenalan yang juga orang lama membela angsa dan dia sendiri belum pernah berdepan kejadian angsa jantan bertelur,” katanya.

Katanya, apa yang lebih mengejutkan apabila dia diberitahu pokok serai wangi yang menjadi teduhan Jeep bertelur turut berbunga.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 4:42pm
d