mutakhir

Samun RM6

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TERDESAK mendapatkan wang dipercayai untuk membeli dadah, seorang lelaki menyamun RM6 daripada seorang buruh dalam kejadian di Pengkalan Mat Ludin, Kampung Ulu Seladang, dekat Permaisuri.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 1 tengah hari, 30 Januari lalu ketika mangsa berusia 19 tahun yang sedang bersama rakannya didatangi seorang lelaki dikenali (suspek).

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, suspek berusia 25 tahun kemudian mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa sambil meminta wang dan mangsa yang bimbang suspek bertindak agresif menyerahkan wang RM6.

“Selain mengambil wang RM6, suspek turut merampas sebuah beg galas milik mangsa sebelum beredar meninggalkan lokasi kejadian dengan menunggang motosikal.

“Mangsa sekali lagi didatangi suspek ketika dia berada di hadapan sebuah rumah di Kampung Ulu Seladang kira-kira jam 10 malam kelmarin.

“Suspek dikatakan tidak semena-mena mengacukan sebilah pisau dan menyatakan mahu menampar mangsa menyebabkan remaja lelaki itu segera masuk ke dalam rumah kerana bimbang diapa-apakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, susulan kejadian itu mangsa yang bimbang keselamatan diri membuat laporan di Balai Polis Permaisuri kelmarin untuk tindakan lanjut.

Katanya, suspek yang positif methamphetamine kini direman selama empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 5:45pm
d