mutakhir

Ditetak 25 kali rupanya...

Oleh Faliq Lajim

SUSPEK utama dipercayai menetak rakannya sehingga maut di Batu 5, Jalan Kampung Jawa, Shah Alam, petang semalam, positif dadah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, lelaki berusia 35 tahun itu di sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang, pada 11.02 pagi hari ini dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine (syabu).

Beliau berkata, sebelum itu polis menahan adik suspek berusia 33 tahun pada 1.20 pagi yang membawa kepada penahanan suspek utama kes berkenaan.

“Turut dirampas sebuah motosikal Honda EX5 yang digunakan ketika kejadian dan siasatan mendapati motosikal itu didaftarkan di bawah nama adik kepada suspek utama.

“Polis turut merampas sebilah parang berukuran 61 sentimeter yang dibuang ke dalam parit berdekatan rumah suspek dan dipercayai digunakan untuk menetak mangsanya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Baharudin berkata, polis percaya mangsa dan suspek saling mengenali di antara satu sama lain selain turut terbabit dalam aktiviti penagihan dadah.

Beliau berkata, suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah membabitkan samun serta dadah dan baru saja dibebaskan pada November tahun lalu.

“Hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mendapati mangsa ditetak sebanyak 25 kali di bahagian muka, badan dan kaki termasuk lapan kesan tetakan serius.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengenai motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan mangsa ditemui mati akibat ditetak dengan parang oleh seorang individu dipercayai rakannya di Batu 5, Jalan Kampung Jawa.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa R Dharmaraj, 34, ditemui orang awam dalam keadaan terbaring berlumuran darah di kawasan lapang.

Berita berkaitan

'Maut akibat 8 kesan tetakan'

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 6:27pm
d