mutakhir

Bunga `sakti' suku Temiar

Oleh Ramli Ibrahim

KEPERCAYAAN masyarakat Orang Asli suku Temiar terhadap pokok herba hutan dikenali sebagai bunga charax menyebabkan ia popular bagi mengubati pelbagai penyakit termasuk demam panas, pening kepala, susut berat badan dan merawat wanita selepas bersalin.

Pokok itu kebanyakannya ditanam sekitar rumah untuk memudahkan mereka mengambilnya bagi mengubati penyakit.

Penduduk Kampung Kaloi, Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan, Along Busu, 71, berkata, bunga pokok herba itu digunakan sebagai ubat alternatif kepada mereka.

“Ubat alternatif itu hanya terkenal kepada kaum ini sahaja dan mungkin kaum lain tidak mengetahui khasiat pokok herba berkenaan.

“Orang Asli mengamalkan dengan meminum air rebusan bersama bunga pokok hutan itu sejak dahulu lagi termasuk untuk memulihkan semangat dan merawat penyakit ‘tekruu’ atau susut berat badan,” katanya.

Muna Angah, 55, berkata, wanita kaum Orang Asli yang berpantang selepas bersalin turut mengamalkan ritual tradisional dengan minum air herba bunga charax.

Katanya, pokok bunga charax menjadi tanaman sangat penting kepada masyarakat Orang Asli kerana tidak perlu bersusah payah mendapatkan perubatan moden.

“Kami tinggal di kampung pedalaman yang jauh dengan bandar dan sukar mendapat rawatan di klinik atau hospital jika sakit seperti susut berat badan serta demam panas.

“Jadi, kami menggunakan herba berkenaan untuk merawat pelbagai penyakit,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 9:14pm
d