mutakhir

Maut dirempuh lori ais

Oleh Hadzlihady Hassan

SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh lori ais dalam kemalangan di Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas, Balik Pulau, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa Mohd Sahami Amur, 54, yang bekerja di Penang Port meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori ais terbabit merempuh motosikal berkenaan ketika tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati jalan terbabit adalah jalan lurus tiga lorong.

“Siasatan mendapati terdapat kesan calar pada permukaan jalan serta kesan tayar di lorong paling kiri.

“Penunggang motosikal berkenaan dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia pada 10.40 pagi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Anbalagan berkata, polis menahan pemandu lori ais berusia 42 tahun dan dia yang tidak cedera positif dadah jenis methamphentamine selepas ujian saringan awal dijalankan terhadapnya.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian.

“Jika bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara minimum tiga tahun dan maksimum 10 tahun serta denda sehingga RM20, 000,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 9:29pm
d