mutakhir

Bomba hulur 10 penerbangan ihsan

Oleh Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah melakukan 10 penerbangan ihsan membawa pesakit kritikal Orang Asli ke Hospital Gua Musang (HGM).

Penerbangan ihsan terpaksa dilakukan untuk menggantikan ambulans berikutan laluan menghubungkan lima pos Orang Asli rosak teruk dipercayai akibat digunakan lori balak dan memerlukan khidmat itu bagi mempercepatkan perjalanan membawa pesakit.

Antara pos Orang Asli yang menggunakan khidmat berkenaan Unit Udara JBPM yang berpangkalan di Subang itu termasuk Pos Balar, Bihai, Simpor, Belatim, Gob dan Pos Hau.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang Mohd Farhan Marzuki berkata, khidmat penerbangan ihsan bukan mudah untuk disediakan pihaknya.

Menurutnya, setiap permohonan penerbangan ihsan untuk masyarakat Orang Asli akan diterima daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak.

Katanya, hanya pesakit Orang Asli dalam keadaan kritikal dan kronik saja boleh mendapatkan bantuan khidmat penerbangan ihsan itu.

“Kita sebagai kru penyelamat melalui udara memikul tugas berat setiap kali mengadakan penerbangan ihsan ke perkampungan Orang Asli,” katanya.

“Ini disebabkan ada penerbangan itu berisiko untuk mendarat di kampung Orang Asli berikutan keadaan cuaca buruk kerana kabus tebal, hujan lebat dan ribut selain bentuk muka buminya,” katanya.

Mohd Farhan berkata, Gua Musang paling banyak menerima bantuan penerbangan ihsan Unit Udara JBPM setiap tahun berbanding daerah lain di negara ini.

Katanya, pada tahun lalu sebanyak 40 penerbangan ihsan dilakukan pihaknya untuk membawa keluar pesakit kritikal Orang Asli ke hospital.

Beliau berkata, tiga krew digunakan untuk tujuan itu termasuk Agusta AW139, Agusta 109E dan Mi-17-IV yang berpangkalan di Subang dan Bertam, Pulau Pinang.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli di Pos Gob, Selamat Angah, 54, mengakui jarak pos itu agak jauh dengan bandar dan sukar dilalui.

“Kami mengucapakan terima kasih kepada semua krew penerbangan ihsan yang sedia membantu untuk membawa pesakit ke hospital,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 8:04am
d