mutakhir

'Moga ada berita gembira dari mahkamah'

Oleh Noorazura Abdul Rahman

“JIKA saya terbaca atau menonton berita mengenai Muhammad Adib, saya akan cepat tutup dan buat kerja lain, tapi di sudut hati tetap terus mengharapkan kematiannya mendapat keadilan secepat mungkin.”

Begitu kata Asma Aziz, 52, ibu kepada anggota bomba yang terkorban akibat dibelasah oleh perusuh di Kuil Maha Mariamman, November lalu.

Asma berkata, setiap kali selesai solat, dia akan mendoakan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anaknya berjalan lancar demi keadilan buat anggota keluarganya.

Katanya, dia hanya mahu melihat pelaku yang membelasah anaknya dijatuhi hukuman secepat mungkin.

“Sebagai ibu dan orang Islam, hanya doa yang saya mampu iringi supaya prosiding inkues berkenaan berjalan lancar, dalam keadaan sekarang, hanya Allah yang dapat membantu saya.

“Rindu kepada Adib tak pernah kurang, sudah hampir dua bulan dia pergi meninggalkan saya, masih terngiang-ngiang suaranya memanggil saya mak, perasaan saya bercampur aduk sekarang...harap akan ada berita gembira dari mahkamah selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Tahlil Untuk Adib anjuran penduduk Kampung Telaga Mas di Tapak Pasar Malam Tanah Merah, di Jitra, malam tadi.

Ibu kepada empat orang anak itu hadir ke majlis berkenaan bersama suaminya Mohd Kassim Abdul Hamid, 64.

Pasangan itu turut melahirkan rasa terharu atas keprihatinan masyarakat dan berterima kasih kepada penganjur tahlil khas untuk arwah anak mereka.

Pada 18 Januari lalu, pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan prosiding inkues dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner.

Sementara itu, penganjur majlis berkenaan, Mashkor Jamaludin, 47, berkata, biarpun tiada talian persaudaraan dengan keluarga Adib, namun dia sanggup mengeluarkan belanja bagi mengadakan tahlil dan jamuan kepada penduduk kampung.

Katanya, tahlil itu diadakan sebagai doa dan sedekah untuk Allahayarham Adib berikutan kematiannya sungguh menyayat hati rakyat Malaysia.

“Selain itu, saya mahu memberi petanda atau isyarat bahawa rakyat sangat mengambil berat isu yang berlaku kepada arwah Adib, walaupun saya hanya peniaga makanan dan tidak pernah mengenali keluarga Adib, namun saya mengambil tahu setiap perkembangan kes anggota bomba ini.

“Adalah menjadi harapan saya serta kira-kira 500 penduduk kampung dan kenalan yang hadir malam ini supaya kerajaan mengutamakan kes Adib dan tidak ‘melepaskan’ penjenayah yang menyebabkan kematian beliau,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 9:16am
d