mutakhir

Bongkar akaun luar

Oleh Garret Dawum

KUALA LUMPUR: Individu yang mempunyai akaun bank di luar negara dan masih gagal membuat pelaporan cukai yang sepatutnya diberi kelonggaran pengurangan bayaran penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus jika pelaporan dibuat pada atau sebelum 31 Mac tahun ini manakala 15 peratus jika pelaporan dibuat pada atau sebelum 30 Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Seri Sabin Samitah berkata, mereka yang terbabit disaran hadir segera ke pejabat LHDNM jika ada pendapatan yang belum dilaporkan.

“Surat dan e-mel yang dikeluarkan oleh pihak LHDNM berkaitan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) sebenarnya juga disasarkan khusus kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara.

“Pembayar cukai dalam kategori inilah yang diminta dalam surat dan e-mel LHDNM untuk menghubungi dan melaporkan pendapatan tersebut kepada LHDNM,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, PKPS adalah antara penyelesaian cukai bagi mereka yang mempunyai pendapatan yang dijana daripada hasil sumber pendapatan Malaysia yang boleh dikenakan cukai dan disimpan dalam akaun bank di luar negara tetapi pendapatan tersebut masih belum dilaporkan kepada LHDNM.

“Di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), LHDNM sudah mula menerima maklumat kewangan khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara mulai September 2018,” katanya.

Sementara itu, Sabin berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima berhubung segelintir pegawai yang menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur kerja yang ditetapkan.

LHDNM, katanya, memberi jaminan bahawa aktiviti audit atau siasatan tidak akan membabitkan serbuan ke atas rumah pembayar cukai pada waktu tengah malam.

“Pembayar cukai digalakkan membuat aduan jika ada sebarang salah laku ini dan LHDNM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pegawai yang didapati melanggar prosedur kerja yang ditetapkan.

“Aduan boleh dibuat melalui saluran emel aduan@hasil.gov.my,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 11:04am
d