mutakhir

Sindiket seludup, proses tenggiling tumpas [METROTV]

Oleh Junaidi Ladjana dan Recqueal Raimi

SINDIKET penyeludupan dan pemprosesan daging dan kulit tenggiling yang berselindung di dalam kilang dan gudang di Tuaran dan Sepanggar, sejak tujuh tahun lalu akhirnya tumpas selepas diserbu polis dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, kelmarin.

Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bersama pegawai dari JHL Sabah menemui puluhan ekor tenggiling hidup, ratusan ekor tenggiling beku, sisik tenggiling dan ribuan kotak berisi daging tenggiling yang dianggarkan bernilai RM8.4 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bersama pegawai JHL Sabah membuat serbuan di kilang di Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu kerana terdapat maklumat kegiatan penyeludupan dan pemprosesan daging dan kulit tenggiling secara haram.

“Hasil intipan dan serbuan itu, menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun di dalam kilang itu dan pemeriksaan menemui daging-daging haiwan yang siap diproses dan dibeku dipercayai daging tenggiling di dalam enam peti sejuk beku.

“Turut ditemui beberapa ekor tenggiling yang masih hidup di dalam bekas sangkar serta 10 guni yang berisi kulit tenggiling.

“Seterusnya pemeriksaan dalam kereta Proton Pesona turut menemui 35 ekor tenggiling yang masih hidup di belakang bonet kereta dan dua guni plastik berisi sisik tenggiling dan alat penimbang digital,” katanya ketika ditemui dalam sidang media, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Omar berkata, hasil maklumat dan soal siasat, pada 10.20 hari yang sama dengan dipandu arah suspek, satu lagi serbuan dilakukan di gudang penyimpanan di Kampung Bontoi, Jalan Tamparuli.

“Serbuan itu menemui tiga kontena dan apabila dibuka didapati penuh mengandungi kotak berisi daging tenggiling. Semua rampasan membabitkan 61 ekor tenggiling hidup, sisik tenggiling seberat 361 kilogram.

“Selain itu, 1,860 kotak berisi daging tenggiling beku yang mana berat setiap kotak iaitu 15 kilogram dan setiap kilogram bernilai RM300. Turut ditemui dua kaki beruang dan empat bangkai beku disyaki keluang bakau.

“Tangkapan dan rampasan di bawa ke IPD Tuaran untuk tindakan lanjut JHL Sabah. Jumlah rampasan dianggarkan hampir RM8.4 juta dan rampasan ini adalah kejayaan yang terbesar,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek yang ditahan adalah pengurus kilang yang dipercayai mula beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

“Semua tenggiling ini dibeli oleh suspek daripada pemburu haram tempatan dan dipercayai semua haiwan berkenaan ditangkap di seluruh Sabah dan dikumpul serta dihantar ke kilang untuk diproses dan dibungkus di dalam kotak.

“Siasatan juga mendapati semua tenggiling ini untuk pasaran tempatan, Sarawak serta tidak menolak kemungkinan dieksport keluar negara.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengesan individu-individu yang terbabit dalam sindiket berkenaan termasuk pemburu haram. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Dalam pada itu, Augustine berkata, pihaknya belum membuat kaji selidik secara menyeluruh mengenai populasi haiwan tenggiling di seluruh Sabah.

“Setakat ini, kita hanya menjalankan kaji selidik atau kajian di daerah Kinabatangan memandangkan kadar populasinya rendah dan hanya terdapat di kawasan tertentu yang dijadikan lokasi pemburu haram.

“Pada masa sama, kita sudah memindahkan enakmen hidupan liar daripada Jadual 2 ke Jadual 1 pada tahun 2016 iaitu seperti kes ini ianya dibawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 12:19pm
d