mutakhir

Pemandu mabuk ditahan

Oleh Nor Farhani Che Ad

TINDAKAN lelaki memandu dalam keadaan mabuk mengundang padah apabila dia ditahan polis awal, hari ini.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan dalam Ops Samseng Jalanan/Mabuk di Kilometer 57 Jalan Alor Setar-Butterworth, 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, pemandu Perodua Kancil berwarna putih itu ditahan selepas disyaki memandu dengan kandungan alkohol dalam nafas melebihi had yang ditetapkan.

“Melalui saringan awal dengan menggunakan alat ‘Screening Device II’ (SDII) yang dibuat di lokasi didapati bacaan kandungan alkohol pemandu terbabit adalah 262 miligram (mg) dalam 100 milimeter (ml).

“Pemandu terbabit dibawa ke balai trafik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) untuk ujian pernafasan menggunakan mesin EBAII.

“Hasil bacaan adalah sebanyak 192mg dalam 100ml melebihi had yang ditetapkan sebanyak 80mg dalam 100ml,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 1:25pm
d