mutakhir

Tempat perlindungan anjing liar siap lagi sebulan

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

TEMPAT perlindungan anjing liar yang mampu memuatkan sehingga 500 ekor haiwan itu pada satu masa di Kuala Sawah, Rantau di Seremban, dijangka siap sepenuhnya sebulan lagi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Zazali Salehuddin berkata, tempat perlindungan itu kini dalam proses pembinaan sejak sebulan lalu di tanah berkeluasan 0.81 hektar.

Katanya, tempat itu sepatutnya sudah siap pada bulan ini, tetapi masalah lokasi menyebabkan ia mengambil sedikit masa lagi untuk disiapkan sepenuhnya.

“Ketika ini anjing liar yang ditangkap ditempatkan di tempat perlindungan yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Mambau.

“Bagaimanapun, tempat perlindungan itu juga kini sudah padat dengan 200 ekor anjing liar yang ditangkap,” katanya pada sidang media selepas Program Penanaman Pokok di Taman Awam Tasik Jaya, di Seremban, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani.

Mengulas lanjut, Zazali mengakui menerima banyak aduan berkaitan anjing liar, namun kekurangan tempat perlindungan menjadi masalah pihaknya terus menjalankan tangkapan.

“Bagaimanapun, saya yakin selepas tempat perlindungan anjing liar ini siap sepenuhnya tidak lama lagi, masalah membabitkan haiwan itu di Seremban mampu diatasi dengan lebih efektif,” katanya.

Sementara itu katanya, MPS dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Awam Malaysia (PUSPANITA) negeri, akan terus memperluaskan program penanaman pokok di daerah ini.

Katanya, sebanyak 100 pokok pelbagai jenis dijangka ditanam di lokasi strategik bertujuan mencantikkan kawasan selain membudayakan kecintaan terhadap landskap.

“Sebagai permulaan, sebanyak 15 pokok jenis Pulai dan Sakura Malaysia ditanam di Taman Awam Tasik Jaya manakala yang selebihnya di lokasi yang akan ditentukan nanti,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 2:10pm
d