mutakhir

Abang askar pun `sangkut' kes

Oleh Nur Saliawati Salberi

DUA lelaki termasuk seorang anggota tentera yang dipercayai aktif melakukan jenayah samun dan ragut sekitar Melaka Tengah, di sini, dicekup dalam Op Rentap, pada Selasa lalu.

Kedua-dua lelaki terbabit berusia 18 dan 23 tahun dicekup hasil dua serbuan berasingan masing-masing di Jalan Merdeka dan Kem Terendak, Sungai Udang di sini, antara jam 6 petang hingga 11 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam enam kes samun dan ragut antara 10 Disember 2018 hingga 2 Februari lalu.

“Suspek yang dipercayai aktif sejak hujung tahun lalu dikesan menjadikan wanita sebagai mangsa jenayah.

“Dalam kejadian terbaharu Sabtu lalu, suspek dipercayai bertindak menyamun seorang wanita dengan menolak dan menutup muka mangsa di hadapan sebuah rumah di Jalan Tun Perak, di sini, menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM300,” katanya.

Mohd Nor Yhazid berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, berjaya menahan suspek berusia 18 tahun pada jam 6 petang pada 5 Februari.

“Hasil soal siasat suspek kemudian menunjukkan sebuah motosikal Honda EX5 yang didakwa digunakannya.

“Susulan tangkapan suspek pertama itu, polis menahan seorang anggota tentera berusia 23 tahun,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal dilakukan turut mendapati mereka positif dadah Methamphetamine.

“Turut dirampas bersama suspek adalah tiga telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 4:01pm
d