mutakhir

PAS dakwa AMANAH Melaka terdesak

Oleh Fairuz Zaidan

PAS Melaka menyifatkan laporan polis dibuat Parti Amanah Negara (AMANAH) Melaka terhadap Pesuruhjaya PAS negeri, Kamaruddin Sidek sebagai langkah terdesak parti itu.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Bilal Rahudin, berkata beberapa laporan yang dibuat itu didakwa tidak lebih hanya sekadar mahu menutup kelemahan kepemimpinan AMANAH Melaka dalam mentadbir kerajaan negeri, selain mengaburi kepentingan politik kepartian yang berlaku di dalam jabatan atau agensi kerajaan.

“Mereka seolah-olah takut kepada bayang-bayang sendiri. Ini sebenarnya menimbulkan syak bahawa AMANAH Melaka menyembunyikan kepincangan.

“Malang sekali mereka berada di tampuk pemerintahan kerajaan dan tidak berani secara terbuka menjelaskan perkara sebenar atau cuba memperbetulkan keterlanjuran,” katanya pada sidang media di Pejabat PAS Melaka, di Semabok, Melaka tadi.

Sidang media itu diadakan bagi memberikan sokongan kepada Kamaruddin.

NSTP, pada Selasa lalu melaporkan AMANAH Melaka membuat lima laporan polis terhadap Kamaruddin kerana didakwa memfitnah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta kerajaan negeri.

Semua laporan itu dibuat di Balai Polis, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah susulan ceramah oleh Kamaruddin pada majlis anjuran PAS dan UMNO di Kampung Pulau, Durian Tunggal, Alor Gajah sebelum ini.

Manakala, dua laporan polis lagi turut dibuat atas dakwaan sama oleh AMANAH Bahagian Jasin dan NGO, Amal Relief Malaysia, Melaka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini, kelmarin.

Kesemua laporan itu dibuat susulan kenyataan Kamarudin dalam satu ceramah berhubung isu pelantikan jawatankuasa masjid dan isu tabung masjid.

Mengulas lanjut, Ahmad Bilal berkata, sekiranya dakwaan dibuat Kamaruddin dikatakan sebagai tuduhan atau fitnah, mengapa tiada pihak yang bertemu rakyat bagi menyelesaikan isu berbangkit.

“Amalan, tradisi atau rutin di masjid atau kariah penduduk yang sudah mapan sejak sekian lama sedang diusik oleh tangan-tangan politik.

“Jangan memperbodohkan rakyat pada era kecelikan politik secara terbuka ini. Rakyat di peringkat akar umbi sedang merasai walaupun kerajaan negeri cuba menafikannya,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 7:09pm
d