mutakhir

Penyamun terbabas baju ditarik mangsa [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TAKTIK lelaki berpura-pura ingin membaiki telefon bimbit sebelum cuba menyamun kedai alat telekomunikasi di hadapan Masjid Labu Besar, Kulim semalam gagal apabila mangsa melawan.

Dalam kejadian 11.50 pagi, wanita berusia 29 tahun itu berada di kedai milik bapanya sebelum didatangi suspek berusia 23 tahun yang ingin membaiki telefon bimbitnya.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, bagaimanapun ketika mangsa sedang memeriksa telefon itu suspek mengeluarkan parang dan mengacu serta meminta dia menyerahkan wang tunai.

Menurutnya, suspek kemudian merampas semula telefon bimbitnya dan telefon milik mangsa sebelum keluar untuk melarikan diri.

“Mangsa cuba menangkapnya dan berlaku sedikit pergelutan di mana suspek sempat melibas parang ke arahnya ketika berada di atas motosikal.

“Mangsa juga turut menarik baju suspek menyebabkan dia tidak dapat mengawal motosikal dan melanggar cermin serta tiang kedai sebelum terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, suspek kemudian sekali lagi mengacu parang ke arah mangsa sebelum melarikan diri dan meningglkan telefon bimbit mangsa di atas jalan.

“Mangsa yang trauma kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Kob untuk tindakan selanjutnya.

“Susulan itu, polis mengesan suspek sebelum menahannya di tepi jalan kawasan perniagaan Taman Mutiara, Sungai Kob, Kulim, 5.15 petang tadi,” katanya.

Beliau berkata, semakan ke atas motosikal itu juga mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Suspek juga memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan samun dan curi kenderaan.

“Kita akan memohon perintah tahanan reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 8:21pm
d