mutakhir

Kreativiti kain pelekat, batik

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BERMULA dengan hanya menjahit kain pelekat terpakai untuk kegunaan sendiri, hasil kreativiti Mohd Sofian Roslly bertukar menjadi perniagaan memberi pulangan lumayan buat dirinya.

Malah, keputusan nekad berhenti kerja di sebuah kilang di Seberang Perai, Pulau Pinang, lima tahun lalu hanya untuk memulakan perniagaan itu secara kecil-kecilan di rumah di Parit Abas, Kuala Kurau, Parit Buntar, berbaloi apabila produknya mendapat permintaan ramai khususnya penduduk kampung.

Mohd Sofian, 43, yang lebih mesra dengan panggilan Acuk Pian berkata, idea untuk mempelbagaikan produk berasaskan kain pelekat dan batik timbul selepas beliau memakai seluar dijahit daripada kain pelekat dan batik milik ahli keluarganya.

Katanya, rakan dan penduduk kampung sangat tertarik dan berminat untuk mengenakan pakaian sama.

“Sebenarnya, saya memulakan kerjaya ini dengan menjahit pakaian berasaskan kain pelekat dan batik di rumah selepas berhenti kerja lima tahun lalu.

“Permintaan tinggi menyebabkan saya mencuba pula nasib dengan berniaga di pasar pagi dan pasar malam di sekitar daerah Kerian dan sambutan diterima di luar jangkaan.

“Antara produk laris adalah seluar bayi atau kanak-kanak serta beg silang,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Pantai Ban Pecah, Parit Sungai Melan, Kuala Kurau.

Mohd Sofian berkata, sejak memulakan perniagaan di premis perniagaan baharunya itu tahun lalu, ramai pengunjung tempatan dan luar berkunjung ke pantai itu membeli produknya.

Katanya, harga seluar batik dan pelekat dijualnya berpatutan dan mampu milik iaitu antara RM7 hingga RM35 mengikut saiz iaitu kegunaan bayi hinggalah orang dewasa.

“Harga beg silang pula antara RM16 dan RM20 setiap satu mengikut saiz.

“Beg silang ini antara produk cukup laris terutama ketika hujung minggu dan cuti umum,” katanya.

Beliau kini dalam usaha menjenamakan pakaian dan beg dihasilkannya sebagai produk ‘mesti beli’ sebagai kenang-kenangan dan cenderahati bagi pengunjung ke Pantai Ban Pecah.

Katanya, jika pelanggan ada kain tersendiri dan ingin dijadikan pakaian atau beg seperti dijualnya, dia sedia mengambil upah berpatutan untuk membuatnya.

“Disebabkan tempahan menggalakkan diterima, saya bekerjasama dengan dua lagi rakan untuk menyiapkan tempahan berkenaan.

“Terbaru, saya sedang mengusahakan kain sangkar burung berasaskan kain batik dan sudah menerima beberapa tempahan daripada pelanggan,” katanya.

Mohd Sofian berkata, selain pakaian berasaskan kain pelekat, dia dan keluarganya menjual produk laut dan sungai seperti ikan masin, ikan kering, pekasam, belacan, udang kering, wadi sepat, malah turut menjual udang hidup, ikan belanak dan perumpun untuk pengunjung dan pemancing.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 11:06pm
d