mutakhir

Pendapatan bawah RM3,000 tak dicukai

Oleh Melvin Joni

SURAT Program Pengakuan Sukarela daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh diabaikan sekiranya pendapatan individu kurang daripada RM3,000 sebulan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, golongan mempunyai tahap pendapatan sedemikian adalah dikecualikan membayar cukai pendapatan.

“Mungkin ada individu menerima surat ini daripada LHDN, tetapi anda tidak perlu risau sekiranya pendapatan bulanan di bawah RM3,000 tidak melayakkan anda dikenakan cukai,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat DAP Sarawak, Kuching, hari ini.

Bagaimanapun, Chieng Jen yang juga Pengerusi DAP Sarawak berkata, bagi mereka yang ragu-ragu sama ada dikenakan cukai atau tidak, mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada perunding cukai LHDN.

“Sementara bagi individu yang memang pembayar cukai, tetapi tidak pernah mendaftar atau telah mendaftar, namun belum melaporkan pendapatan, golongan berkenaan digalakkan sukarela tampil membuat pengisytiharan,” katanya.

Katanya, ia kerana mengikut program itu, pembayar cukai perlu membayar jumlah cukai dan ditambah dengan hanya 10 peratus penalti.

“Ia berbanding dasar sebelum ini di mana pembayar perlu membayar jumlah cukai dengan tambahan penalti 100 hingga 300 peratus,” katanya.

Pelaksanaan program sukarela dengan penalti 10 peratus itu akan dilakukan sehingga 31 Mac 2019.

Maklumat lanjut berhubung program itu boleh didapati daripada Pejabat LHDN terdekat atau muat turun Garis Panduan Program Khas Pengakuan Sukarela daripada laman Web rasmi LHDN di www.hasil.gov.my atau hubungi Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 12:28pm
d