mutakhir

Gara-gara tak puas hati...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PEMANDU teksi eksekutif cedera di muka selepas dibelasah seorang lelaki dipercayai pemandu kereta sapu di KL Sentral, Kuala Lumpur, semalam.

Difahamkan kejadian berlaku jam 10.30 pagi ketika mangsa berusia 54 tahun di stesen berkenaan sebelum dihampiri suspek.

Sumber berkata, suspek terus menumbuk mangsa di bahagian muka hingga menyebabkan luka dan lebam di seluruh muka pemandu teksi eksekutif itu.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum membuat laporan di pondok polis pusat perubatan itu, pada hari sama.

“Difahamkan mangsa dipukul kerana suspek tidak berpuas hati dengan pemandu teksi eksekutif itu yang dikatakan mendapat penumpang terdiri daripada pelancong untuk ke Genting Highlands,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ruslan Khalid ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 1:02pm
d