mutakhir

Buntu cari RM40,000

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

SUAMI ISTERI dari Ladang Chersonese, Kuala Gula, Bagan Serai buntu memikirkan masa depan anak bongsu mereka yang menderita saluran jantung tersumbat sejak dilahirkan.

Dugaan keluarga ini semakin berat apabila Mohd Darwish Fahmi Mohd Shah Mizan yang baru berusia 18 bulan perlu di bedah secepat mungkin dengan memerlukan kos RM80,000 bagi menggantikan saluran injap jantungnya.

Mohd Shah Mizan Ramli, 36, berkata, dia hanya berkerja sebagai operator kilang dengan pendapatan tidak seberapa serta perlu menanggung tiga lagi anak Siti Nor Umairah, 8 dan kembar Mohd Nor Aiman dan Mohd Nor Iman, 7, yang masih bersekolah.

Katanya, isterinya, Zakiah Ishak, 37, pula hanya suri rumah dan mereka turut menjaga ibu Deriah Nawi, 70, yang kini lumpuh serta terlantar sahaja di rumah anak saudaranya.

“Pihak hospital memaklumkan perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM40,000 manakala separuh lagi akan ditanggung pihak mereka.

“Mana kami nak cari banyak tu, kerja setahun pun tak mampu kumpul,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Ladang Chersonese, hari ini.

Mohd Shah Mizan berkata, dia pernah cuba untuk mendapatkan bantuan dari Baitulmal namun ditolak dengan alasan dirinya masih muda dan mampu berkerja.

“Kami dah tak tahu apa nak buat, hanya berserah pada Allah dan terpaksa menebalkan muka mengharap simpati rakyat Malaysia membantu mengumpul kos pembedahan itu.

“Ia perlu disediakan sebelum Mei ini kerana anak saya akan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pemeriksaan dan seterusnya pembedahan,” katanya.

Sementara itu Zakiah berkata, sebelum ini anaknya dirawat di Hospital Taiping selama sebulan sewaktu berusia tiga bulan dan ditebuk dibahagian paha kanan bagi membuka sedikit saluran injap jantung dan melancarkan perjalanan darahnya.

“Sekurang-kurangya tiga ke empat kali seminggu dia (anak) akan menjadi kebiru-biruan seolah-olah darah tidak mengalir dan perlu diangkat dan diurut.

“Biarpun berusia setahun enam bulan, anak saya tidak macam anak orang lain dengan berat hanya 7.5 kilogram serta tidak mampu lagi berdiri atau berjalan dan hanya mengesot untuk bergerak,” katanya.

Zakiah berkata, anaknya juga perlu mendapatkan rawatan susulan empat bulan sekali di Hospital Taiping manakala enam bulan sekali di Hospital Pulau Pinang.

“Kadangkala untuk pergi rawatan ke Pulau Pinang pun sampai terpaksa berhutang pada rakan dan adik-beradik lain, ini kan pula nak cari RM40,000 dalam masa tiga bulan,” katanya hiba.

Kepada orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh berhubung terus dengan keluarga di talian 011-518 53963 atau 012-442 5032.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 1:10pm
d