mutakhir

Si bulus diracun?

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

LULUH hati seorang pencinta kucing, apabila 10 haiwan berkenaan termasuk yang dipelihara oleh jirannya ditemui mati dipercayai diracun individu tidak berperikemanusiaan.

Kejadian berlaku pada Ahad lalu di kawasan Taman Perumahan Saujana Puchong apabila suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 49, menerima panggilan daripada jirannya.

Dia dimaklumkan dua ekor kucing yang ditinggalkan di rumah ditemui dalam keadaan darah mengalir keluar dari mulut sebelum mati beberapa jam kemudian.

Katanya, sebelum kejadian berlaku, dia meninggalkan empat ekor kucing yang dipelihara sejak empat tahun lalu dalam keadaan baik untuk bercuti ke Johor pada 2 Februari lalu.

“Sebelum bercuti, saya minta kenalan anak untuk melihat dan memberi makan empat kucing berkenaan yang memang dibiarkan lepas bebas.

“Namun, sehari selepas itu saya terima panggilan daripada kenalan anak memaklumkan dua ekor kucing kami itu ditemui dalam keadaan darah mengalir keluar daripada mulut dan mati selepas beberapa jam kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan berkata, dia bersama keluarga pulang semula ke rumah pada Selasa lalu dan gagal menemui dua lagi kucing miliknya serta jiran.

Katanya, kebiasaan kucing peliharaannya tidak pergi jauh dan hanya berada sekitar rumah sahaja sebelum memutuskan untuk mencari kucing keesokan hari (Rabu).

Dia kemudian menemui lapan ekor kucing dalam keadaan kaku dipercayai akibat diracun.

“Luluh hati saya bila menemui lapan ekor kucing termasuk dua milik saya dalam keadaan kaku serta bergelimpangan dengan kesan darah mengalir keluar daripada mulut, berkemungkinan diracun.

“Berdasarkan keadaan, saya percaya kesemuanya sudah mati sejak beberapa hari sebelum saya pulang semula ke rumah,” katanya.

Menurut Wan, kejadian itu pertama kali berlaku biarpun dia sudah tinggal di situ sejak 15 tahun lalu.

Katanya, susulan kejadian itu, dia bersama beberapa penduduk membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang dapat diambil dan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu tidak berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada Rabu lalu.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 3:25pm
d