mutakhir

'Bieber' ditemui maut

Oleh Shamsul Munir Safini

LELAKI warga Kanada dikenali sebagai Bieber Robert Donald ditemui mati dengan keadaan mayatnya sudah berbau di Apartment Sri Sayang, Batu Feringgi, Georgetown, semalam.

Dalam kejadian itu, mayat mangsa berusia 70 tahun berkenaan ditemui jam 6.0 petang oleh pemilik apartment yang kemudian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian menemui mayat mangsa berada dalam keadaan terlentang dalam bilik air utama apartment itu.

Katanya, keadaan mayat juga sudah berbau dan berulat di bahagian muka.

“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas mayat dan kawasan persekitaran tidak menjumpai sebarang unsur jenayah.

“Polis juga menjumpai beberapa ubat mangsa dan diambil untuk diserahkan ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk tujuan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa mendaftar masuk 22 Julai tahun lalu dan kali terakhir dia membuat bayaran untuk menyambung tempoh sewaannya pada 26 Disember lalu.

Katanya, mangsa tinggal seorang diri di situ dan sering berhubung dengan anak mangsa yang tinggal di Singapura.

Che Zaimani berkata, anak mangsa ada meminta pemilik apartment untuk melihat keadaan bapanya kerana sudah beberapa hari tidak menjawab emel yang dihantar.

“Susulan itu, pemilik apartment pergi untuk memeriksa mangsa sebelum terhidu bau busuk dan menjumpai mayatnya dan memaklumkan anaknya yang mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, hasil bedah siasat mengesahkan tiada unsur jenayah dan punca kematian adalah kerana ‘coronary artery disease’ atau serangan jantung.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 3:46pm
d