mutakhir

Cuti tanpa rekod buat doktor sertai misi kemanusiaan

Oleh Iskandar Shah Mohamed

MANA-MANA pegawai perubatan yang mahu menyertai bantuan misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin bersama badan bukan kerajaan (NGO) akan diberi cuti tanpa rekod oleh kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kelonggaran khas itu bagaimanapun hanya untuk doktor yang mengikuti misi bersama NGO berdaftar sahaja.

“Menerusi polisi sedia ada, doktor termasuk pakar bedah memang boleh mengambil cuti tanpa rekod bagi menjalankan misi kemanusiaan, namun ia perlu bersama NGO yang diiktiraf seperti Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).

“Mereka boleh mengambil cuti tanpa rekod selama dua minggu bagi pelaksanaan misi itu apatah lagi ketika ribuan rakyat Palestin sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan perubatan termasuk pembedahan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Medical4Gaza di Econsave Alam Jaya, Kuala Selangor, hari ini.

Hadir sama, Pembantu Timbalan Menteri Kesihatan Palestin, Dr Ahmed Al Khodary; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Khalid Ibrahim; Pengarah Eksekutif Econsave, Lai Sia Ling dan Pengurus Besar Pasar raya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam.

Dzulkefly berkata, sesi pertemuan bersama Menteri Kesihatan Palestin sudah dilakukan sebelum ini bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan di Gaza.

“Gaza ketika ini tidak memerlukan pembinaan hospital medan, namun lebih kepada keperluan rakyat terutama peralatan hospital dan bekalan ubat-ubatan yang tidak mencukupi.

“Justeru, kita berharap usaha murni Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk NGO berjalan lancar tanpa sebarang halangan,” katanya.

Sementara itu, MyCARE dengan kerjasama Econsave melancarkan Tabung Medical4Gaza bagi membantu lebih 7,000 rakyat Palestin yang dirawat di semua hospital di Gaza, berikutan kekurangan tenaga pakar dan peralatan perubatan terkini di negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, bantuan seumpama itu kini menjadi keutamaan organisasi bantuan kemanusiaan kerana negara itu kekurangan bekalan perubatan sejak serangan ‘The Great Return March’, tahun lalu.

Katanya, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 551575004299 atau CIMB Islamic 8602135592 atas nama MyCARE.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 4:27pm
d