mutakhir

Muat naik ayat jelik

Oleh Shamsul Munir Safini

LELAKI diberkas polis di Bukit Mertajam semalam, selepas menggunakan akaun palsu Facebook untuk memuat naik kenyataan jelik berunsur perkauman bertujuan melakukan khianat.

Dalam kejadian Khamis lalu, kenyataan dimuat naik lelaki berkenaan disedari lelaki berusia 47 tahun yang juga pengurus kilang di Bayan Baru, Bayan Lepas, sebelum melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, A A Anbalagan berkata, pada 3.30 petang Khamis lalu, pengurus kilang mendakwa menjadi mangsa lelaki yang dikenalinya itu apabila gambarnya disebarkan di akaun palsu Facebook milik individu terbabit berserta kata provokasi perkauman.

“Keterangan pada gambarnya yang dimuat naik itu disertakan dengan kata kesat memaki satu kaum di negara ini.

“Akaun palsu itu juga menggunakan gambar seorang perempuan yang juga pekerja di kilang itu,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Anbalagan berkata, mangsa percaya akaun Facebook palsu itu sengaja dicipta untuk memfitnah bagi mengundang kemarahan orang ramai kepada mangsa.

Menurutnya, mangsa percaya ia dilakukan suspek yang juga bekas pekerja di situ kerana berdendam dengannya.

“Dia percaya suspek melakukan perkara itu bagi memburukkan nama pengadu.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada 5.18 petang Khamis lalu,” katanya.

Hasil siasatan yang dilakukan, polis menahan suspek di tepi jalan Medan Bukit Emas, Bukit Mertajam, jam 7.15 malam tadi.

Anbalagan berkata, hasil siasatan, suspek berusia 43 tahun yang mempunyai dua rekod jenayah lampau mengaku memuat naik kenyataan di akaun palsu itu.

“Suspek mengaku melakukan perkara itu menggunakan telefon bimbit miliknya dan ditahan polis bagi tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 7:41pm
d