mutakhir

Tiada lagi gangguan babi hutan

Oleh Nur Saliawati Salberi

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk menembak tiga babi hutan yang merayau di sekitar Bandar Hilir, Melaka.

Pengarahnya, Noorzakiahanum Mohd Noh berkata, kehadiran haiwan itu di kawasan berkenaan, kelmarin, secara tidak langsung mengancam keselamatan penduduk dan pelancong.

Menurutnya, operasi itu diketuai EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee bersama anggota PERHILITAN serta pemburu berlesen yang mempunyai kepakaran menembak binatang liar.

“Operasi yang bermula 11.30 malam itu menyasarkan lokasi di Bukit Senjuang, yang dipercayai menjadi tempat haiwan itu berteduh sebelum berjaya menembak tiga babi hutan dewasa.

“Kami kemudian turut mengadakan pemantauan di beberapa lokasi lain, termasuk ke Kuala Linggi, kawasan didakwa sering dilihat kelibat haiwan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Norhizam berkata, operasi itu akan diadakan secara berterusan bagi membasmi binatang liar berkenaan kerana ia boleh mengundang bahaya.

“Kebiasaannya babi hutan ini mudah dikesan ketika hujan kerana ia akan keluar mencari makanan seperti menggali tanah untuk dapatkan cacing.

“Kemunculan haiwan ini di bandar, mahupun kawasan perumahan disebabkan kawasan hidupan sudah terjejas akibat diceroboh menyebabkan terpaksa keluar mencari makanan,” katanya.

Terdahulu, awal minggu lalu tular di laman sosial seekor babi hutan bersaiz dewasa muncul di kawasan bandar dan didakwa berlaku di Bandar Hilir.

Video berdurasi 19 saat itu dipercayai sempat dirakam seorang pengguna jalan raya yang ketika itu melalui kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 8:02pm
d