mutakhir

1 maut, 3 cedera kereta bertembung

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

LELAKI maut manakala tiga cedera dalam kemalangan dua kereta di Kilometer 6 Jalan Bahau-Rompin berhampiran Ladang St Helier, Jempol, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa, Mohamad Zamirhakim Rahmad, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, mangsa dari FELDA Palong Enam memandu Proton Iswara Aeroback dipercayai ditemani rakannya, Muhammad Tarmizi Mat Nayan, 22.

Katanya, mangsa dari arah Bahau menuju ke Rompin dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai urusan di Bahau.

"Setiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah Honda Civic yang datang dari arah Rompin.

"Akibat pertembungan itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala rakannya patah kedua kaki dan cedera di bahagian badan," katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, pemandu dan penumpang Honda Civic dipercayai suami isteri cedera manakala dua anak mereka berusia lima dan lapan tahun tidak cedera.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 8:12am
d