mutakhir

2 beradik ugut bapa

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

HANYA kerana tidak diberi wang, dua beradik sanggup mengugut ingin mencederakan bapa mereka dengan pisau di kediaman keluarga itu di Kampung Sekolah Merbau, Kualai Ketil, Kulim, semalam.

Dalam kejadian 12.45 tengah hari itu, lelaki berusia 18 dan 31 tahun itu pada mulanya meminta wang daripada bapanya berusia 60 tahun ketika berada di rumah.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, bagaimanapun mangsa enggan memberi wang itu menyebabkan suspek mengamuk.

“Suspek turut mengacu pisau kepada mangsa menyebabkan dia yang ketakutan meminta anak-anaknya bertenang.

“Selepas keadaan kembali tenang, mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Karangan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, sebaik menerima laporan itu, polis kemudian mengesan suspek sebelum menahan mereka di rumah mangsa pada 6 petang.

“Polis turut merampas pisau sepanjang 23 sentimeter (sm) yang digunakan untuk mengugut bapa mereka.

“Semakan juga mendapati si abang memiliki rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Foto Ihsan Polis

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 8:42am
d