mutakhir

Pengalaman menakjubkan pandu sendiri di Gold Coast

Oleh Suliati Asri

Memandu sendiri antara cara terbaik menghayati keindahan panorama di Australia. Dengan memandu sendiri juga, peluang melihat Australia dengan lebih dekat dan ia pasti mengujakan.

Ini kerana, dari perjalanan darat hingga percutian pandu sendiri, perjalanan darat Australia meliputi setiap jalan dan menawarkan landskap memukau.

Dengan memandu sendiri, anda juga dapat merancang perjalanan mengikut kesesuaian dan lebih banyak fleksibiliti untuk berhenti di mana yang dikehendaki.

Justeru, bagi yang mencari kelainan saat mengunjung Gold Coast, memandu sendiri adalah langkah terbaik dan harus manfaatkan untuk meneroka ‘permata tersembunyi’ yang ditawarkan Gold Coast.

Mt Tamborine

Cadangan lawatan: Kunjungan sehari atau bermalam

Mt Tamborine adalah destinasi memandu sendiri paling ideal bagi pelancong yang ingin meneroka landskap pedalaman Gold Coast.

Pemanduan mengambil masa selama 45 minit dari bandar Gold Coast membawa anda ke Screnic Rim yang indah dan taman negara yang menjanjikan ketenangan dengan alam semula jadi, hutan hujan yang subur dan sungai mengalir jernih.

Selain itu, percutian di salah satu taman negara yang cukup indah ini turut disertakan dengan pelbagai aktiviti termasuklah melihat kehalusan seni dan kraf tempatan serta membeli belah di sepanjang Gallery Walk.

Jangan lupa singgah di Granny Mac’s Fudge Store and Cafe kerana ia satu kemestian. Di sini anda berpeluang membuat sendiri hadiah untuk keluarga dan rakan untuk dibawa pulang.

Anda peminat keju? Jangan lepaskan peluang singgah sebentar di Witches Chase Cheese untuk mencuba pelbagai jenis keju yang cukup popular di situ.

Mengunjungi Tamborine Rainforest Skywalk memberi peluang menyaksikan keindahan hutan hujan tropika Tamborine yang menakjubkan.

Ikuti laluan yang akan membawa anda ke kanopi paling bawah, kemudian melalui kolam batu dan seterusnya ke kantilever di ketinggian 30 meter di atas lembah menjanjikan. Semua ini menjanjikan pemandangan menghijau yang pastinya tidak tergambar dengan kata-kata.

Penerokaan yang mengambil masa selama lebih kurang sejam itu pastinya memberikan keterujaan sendiri.

Bagi yang ingin bermalam, O’Reilly’s Rainforest Retreat adalah penginapan yang bukan saja memberikan keselesaan serta persekitaran yang mendamaikan tetapi juga pemandangan Western McPherson Ranges yang cukup indah.

Aktiviti harian seperti berjalan kaki berpandu, pertunjukan haiwan dan berjalan di atas O’Reilly’s Tree Top Walk yang popular adalah aktiviti yang menanti anda di O’Reilly’s Rainforest Retreat.

Glamping dan penginapan kebun di Lost World Valley, Scenic Rim

Cadangan lawatan: Bermalam, disyorkan 1-2 malam

Ingin merasai sendiri pengalaman berada di pedalaman dan bermalam di penginapan ladang di Gold Coast? Lost World Valley adalah destinasi yang mungkin boleh dipertimbangkan.

Dengan hanya memandu selama 90 minit dari Gold Coast, pemandangan gunung yang dramatik di Taman Negara Lamington yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia, Lost World menawarkan suasana mendamaikan yang sangat sesuai bagi pengunjung yang ingin kelainan.

Bagi yang bercuti bersama rakan ataupun keluarga, Cedar Glen Farmstay adalah lokasi yang dicadangkan. Kawasan berkeluasan 424.92 hektar ini menawarkan pengalaman unik dengan kehidupan sebagai pekerja ladang sebenar.

Aktiviti memerah susu lembu dan memberi makan ayam serta kambing biri-biri pasti memberi keseronokan dan pengalaman bermakna buat si kecil.

Menunggang kuda dan menaiki pacuan empat roda ke Jack’s Rocks menerusi 4WD Twilight untuk melihat pemandangan landskap matahari terbenam yang menakjubkan adalah aktiviti ‘mesti muat’ saat berada di sini.

Inginkan percutian yang romantik bersama pasangan? Worendo Cottages dan Nightfall Wilderness Camp adalah penginapan glamping mewah yang memberikan pengalaman percutian romantis yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Wilayah Sunshine Coast

Cadangan lawatan: Disyorkan dua hingga tiga malam.

Terletak di utara Gold Coast, memandu di Lebuhraya Bruce (M1) dengan pemanduan selama 120 hingga 150 minit dari Gold Coast membawa anda ke satu lagi ‘permata tersembunyi’, Sunshine Coast.

Bagi yang ingin berkunjung dan bermalam di Sunshine Coast yang terletak di wilayah Queensland ini, waktu terbaik yang disyorkan adalah pada hujung minggu bagi merasai sendiri pengalaman pasar tani yang menjual pelbagai barangan tempatan.

Pastikan anda melawat pasar seni dan kraftangan 'Pasar Eumundi' (Rabu dan Sabtu) serta 'Pasar Petani Noosa' yang menjual produk segar hasil petani (hari Minggu sahaja).

Semasa memandu ke Sunshine Coast ini, pastikan juga anda merancang untuk berhenti seketika di Zoo Australia, The Ginger Factory untuk melihat 1001 hal mengenai halia dan Nutworks for Yummy Macadamia yang terletak bertentangan dengan The Ginger Factory.

Memandu ke Maleny dan Montville untuk menghirup udara segar dan menikmati keindahan landskapnya juga adalah satu kemestian saat berkunjung ke Sunshine Coast.

Untuk sesuatu yang lebih mencabar, jangan lupa bawa bersama kasut mendaki anda untuk menakluk puncak Gunung Glass House yang ikonik. Di sini, hanya dua gunung yang dibuka untuk pengunjung iaitu Gunung Tibrogargan dan Gunung Ngungun.

Apa yang pasti, pendakian di kedua gunung ini pastinya sesuatu yang cukup mengujakan kerana ia menawarkan trek berjalan mengikut kesesuaian pengunjung iaitu dari mudah hingga mencabar.

Selain itu, panorama indah yang disajikan juga sesuatu yang cukup indah dan tidak tergambar dengan kata-kata.

Terokai Gold Coast dengan AirAsia

Jika ingin merasai sendiri keseronokan dan kelainan yang dirasai saat bercuti di Gold Coast dengan memandu sendiri, AirAsia menyediakan penerbangan 7 kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Gold Coast dengan tambang sehala dari RM499 dan Premium Flatbed dari RM1,490 (untuk ahli BIG). Tempah sekarang di airasia.com!

Ia pastinya sesuatu yang tidak seharusnya dilepaskan. Tempahan boleh dilakukan sekarang hingga 10 Mac dan waktu penerbangan juga bermula sekarang hingga 31 Julai ini. Maklumat lanjut layari www.airasia.com/goldcoast .

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 9:02am
d