mutakhir

'Kau sendiri tak istiqamah nak berubah...'

Oleh Nur Saliawati Salberi

“KAU sendiri tidak istiqamah hendak berubah, macam mana kami mahu tolong,” kata pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kepada pemuda yang cuba merayu agar dibebaskan selepas didapati positif dadah ketika ditahan dalam Operasi Bersepadu di Jalan Tun Ali, Melaka, malam tadi.

Operasi yang diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama AADK dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) itu berlangsung kira-kira 4 jam bermula 8 malam.

Ketika ditahan, lelaki berusia 25 tahun berkenaan menaiki motosikal bersama anak perempuannya berusia tiga tahun.

Dia merayu dibebaskan kerana perlu menjaga isterinya yang kini dalam pantang selepas melahirkan anak kedua selain bayinya itu kini berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Melaka.

Kira-kira 30 minit selepas ditahan, isteri bersama ibunya datang ke lokasi untuk mengambil anak perempuannya.

Hasil soal siasat, lelaki berkenaan yang juga pengayuh beca turut mengaku dia kini masih dalam tempoh pengawasan polis kerana kesalahan sama sebelum ini.

Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff berkata, dalam operasi itu, 740 kenderaan diperiksa dan hasilnya 147 kesalahan dikesan pihaknya.

“Daripada jumlah itu 110 saman dikeluarkan masing-masing kepada penunggang dan pemandu kereta.

“Selain itu JPJ turut mengeluarkan 11 notis arah periksa dan 13 motosikal disita selepas didapati cukai jalan tamat tempoh,” katanya, pada sidang media selepas tamat operasi.

Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, turut ditahan tiga lelaki termasuk dua pengayuh beca berusia 24 hingga 26 tahun selepas ujian awal saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

Beliau berkata, semua tiga lelaki itu kemudian dibawa balik ke pejabat AADK untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 10:12am
d