mutakhir

Master Chris perlu dibebaskan selepas 40 hari

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

TEMPOH tahanan pakar tulang kaedah perubatan terapi Cina Tit Tar, Datuk Chris Leong selama 40 hari oleh Jabatan Imigresen Indonesia akan berakhir 17 Februari ini.

Peguamnya, Jhon Redo berkata, Chris atau nama sebenarnya, Leong Yann Kong, 43, masih dalam tahanan pihak berkuasa imigresen negara berkenaan atas kesalahan mengikut Fasal 122 Undang-Undang Imigrasi Indonesia.

“Undang-undang (imigresen) Indonesia memperuntukkan tempoh tahanan antara 20 hingga 40 hari. Selepas tempoh itu berakhir, Jabatan Imigresen Indonesia perlu membebaskan Chris dan 19 lagi rakannya yang ditahan sejak Januari lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jhon Redo berkata, kertas siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Jumaat lalu untuk penelitian lanjut.

“Mereka (Pejabat Pendakwa Raya) mempunyai masa sekurang-kurangnya selama 14 hari untuk menelitinya (kertas siasatan). Mahu atau tidak, Jabatan Imigresen Indonesia perlu bebaskan Chris dan rakannya daripada tahanan selepas 40 hari walaupun pertuduhan belum dilakukan.

“Pejabat Pendakwa Raya akan menentukan sama mahu meneruskan pendakwaan atau sebaliknya selepas penelitian dilakukan,” katanya yang dilantik mewakili Chris dan rakan-rakannya pada 12 Januari lalu.

Beliau berkata, dia bagaimanapun sudah meminta supaya kes berkenaan tidak dibawa ke mahkamah dan semua anak guamnya itu harus diusir sahaja dari Indonesia.

“Seharusnya mereka diusir awal lagi. Saya meminta mereka diusir, tetapi imigresen mahu mereka diadili di mahkamah.

“Bagi saya, ini hanya salah faham ia perlu diselesaikan dengan proses pengusiran sahaja. Kes seumpamanya banyak berlaku di Bali dan Jakarta dan biasanya pelaku dihantar pulang,” katanya.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan pakar tulang itu ditahan Jabatan Imigresen Indonesia di Palembang bersama 19 sukarelawan untuk agensi Chris Leong Method (CLM) kerana melanggar peraturan visa melancong, 8 Januari lalu.

Chris dilaporkan ditahan dalam serbuan di sebuah hotel bertaraf empat bintang di Palembang bersama pasukan sukarelawannya itu yang terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, dua warga Hong Kong dan seorang warga Belgium serta Ireland.

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Medan Amizal Fadzli Rajali ketika dihubungi berkata, tiada perkembangan terbaru membabitkan Chris Leong.

“Statusnya masih sama. Tiada perkembangan baru. Kita sentiasa pantau dan sudah menyediakan bantuan diperlukan,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 11:35am
d