mutakhir

Eric Liew didakwa hina Agong [METROTV]

Oleh Nur Lela Zulkipli

BEKAS pengurus pemasaran syarikat keselamatan swasta didakwa di Mahkamah Siber, Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V, 6 Januari lalu.

Tertuduh, Liew Chee Ling, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Edwin Paramjothy Michael Muniandy.

Mengikut pertuduhan, Liew didakwa mengeluarkan kenyataan yang disifatkan menghina Sultan Muhammad V melalui laman Facebook ‘Eric Liew’ pada 7 petang hingga 9 malam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas,D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Kenyataan itu didakwa dimuatnaik secara sedar dan memulakan penghantaran komunikasi secara jelik dengan berniat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta yang sama iaitu denda RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan selepas sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Kamal mencadangkan jaminan RM20,000 kerana ia membabitkan kos berprofil tinggi selain membuktikan bahawa mahkamah memandang serius berhubung kes sedemikian.

Tertuduh yang diwakili peguam, New Sin Yiew merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan kes sedemikian sebelum ini hanya dikenakan jumlah jaminan yang ringan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Mac depan.

Pada 8 Januari lalu, Cisco Asean memecat seorang pekerjanya yang didakwa menghina institusi diraja di media sosial.

Menerusi satu kenyataan di laman Facebook syarikat itu, mereka percaya dalam menghormati undang-undang dan tradisi tempatan.

Berita berkaitan:

  • Eric Liew sudah kena cekup
  • Eric Liew tiada di Cisco Malaysia lagi [METROTV]
  • Perang mulut sebelum hantar memorandum [METROTV]
  • Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 12:30pm
    d