mutakhir

Tiga pertuduhan baru Najib dipindah ke Mahkamah Tinggi

Oleh Murni Wan Omar

TIGA pertuduhan baru membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu dibenarkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Negara Tommy Thomas.

Bagaimanapun, beliau menolak permohonan pihak pendakwaan untuk semua pertuduhan itu dibicarakan bersama dengan tujuh kes lain membabitkan SRC yang akan bermula esok.

Menurutnya, permohonan itu pada peringkat ini adalah pra matang dan ia bukan di bawah bidang kuasanya.

Terdahulu, Tommy memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mahu kes itu dibicarakan bersama dengan tujuh pertuduhan lain kerana ia membabitkan fakta dan dokumen yang sama.

Bagaimanapun peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib membantah perkara itu kerana hari ini hanya ditetapkan untuk permohonan memindahkan kes itu mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, permohonan untuk kes itu dibicarakan bersama perlu dibuat secara berasingan.

Sementara itu, Muhammad Shafee memohon pendakwaan untuk memberi senarai saksi yang akan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes yang akan bermula esok.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya hanya boleh memberi senarai saksi apabila perbicaraan bermula.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan pendakwaan mengemukakan senarai saksi yang akan memberi keterangan dalam masa terdekat selepas prosiding rayuan untuk penangguhan kes di Mahkamah Rayuan, petang ini.

Pada 8 Februari lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang RM27,000, RM10,000 dan RM10,000 hasil aktiviti wang haram.

Tertuduh didakwa menerima wang itu melalui tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Nombor 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaian Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 2:15pm
d