mutakhir

Kesalahan utama pemandu bas dikenal pasti

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MEROKOK dan menggunakan telefon bimbit antara kesalahan dilakukan pemandu bas ketika dalam perjalanan ke destinasi.

Kesalahan itu dikenal pasti dalam Operasi Penyamaran Bas yang dilakukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyamar menjadi penumpang sepanjang tempoh Operasi Tahun Baharu Cina 2019 yang bermula 29 Januari lalu.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, lapan anggota JPJ menaiki 88 bas dari ibu kota ke 44 lokasi di Semenanjung Malaysia sepanjang tempoh berkenaan.

“Dalam operasi itu, kami mengenal pasti empat kesalahan utama dilakukan pemandu bas iaitu merokok dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Selain itu, ada pemandu bas yang memotong di barisan berkembar serta ada di antara bas berkenaan tiada pemandu kedua,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Operasi Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina 2019 Bilangan 4 di Plaza Tol Jalan Duta menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur, malam tadi.

Ismail berkata, anggota bertugas akan mengeluarkan saman terhadap pemandu bas yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.

“Sebaik tiba di destinasi, anggota berrugas akan memperkenalkan diri dan memaklumkan kepada pemandu bas mengenai kesalahan dilakukan mereka.

“Saman akan dikeluarkan kepada pemandu bas terus pada waktu itu atas kesalahan dilakukan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 2:31pm
d