mutakhir

Semoga insaf...

Oleh Muhamaad Razis Ismail

TIGA ahli Geng Saga Merah termasuk dua beradik dihukum penjara sembilan tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas tuduhan merompak lelaki, tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas Norashraf Mujahid Mamat Yasmi, 34, dan adiknya, Norshah Fifi, 30, serta Mohd Hakimi Mat Nor, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula 17 Jun 2018 iaitu tarikh tertuduh ditangkap.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersama-sama merompak Muhammad Yahya, 59, dengan melarikan kereta Perodua Alza menggunakan parang di Taman Azam, Pengkalan Chepa pada 9.15 pagi, 16 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua puluh tahun dan sebat.

Sebelum ini, tertuduh sudah dijatuhi hukuman penjara enam dan lapan tahun serta sebatan terhadap kesalahan merompak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorazlinawati Mohd Arshad manakala, dua beradik itu diwakili peguam AS Dhaliwal dan tertuduh ketiga tidak diwakili peguam.

Ketiga-tiga tertuduh memohon kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman ringan terhadap kesalahan itu.

Bagaimanapun, Noorazlinawati memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan serius dan kepentingan awam.

NSTP sebelum ini melaporkan, polis berjaya menumpaskan Geng Saga Merah yang melakukan samun ketika orang lain sedang menyambut hari raya.

Dalam tempoh sembilan jam pada malam hari raya pertama, ketiga-tiga suspek terbabit dalam enam kes samun, ragut dan curi bersenjata.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 2:50pm
d