mutakhir

Siasat kes dadah tapi jumpa senjata, bahan api

Oleh Hadzlihady Hassan

KUNJUNGAN semula polis ke sebuah rumah di Taman Bukit Indah, Bukit Mertajam, semalam yang pernah diserbu kerana dipercayai makmal memproses dadah, membawa kepada penemuan lebih mengejutkan.

Pasukan itu menemui 349 peluru hidup, dua pistol dan sebutir bom tangan yang masih aktif, semuanya disorokkan dalam kepala katil.

Susulan penemuan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang terpaksa dipanggil untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pasukannya ke rumah dua tingkat itu pada 2.30 petang untuk pemeriksaan susulan selepas serbuan pertama pada 2 Disember tahun lalu.

“Rumah itu dipercayai sudah ditinggalkan penyewanya kira-kira enam bulan sebelum serbuan pertama dulu (2 Disember) yang mana kita menemui pil ecstacy dan peralatan memproses dadah bernilai RM700,000.

“Semalam, polis sekali lagi ke rumah itu untuk siasatan lanjut dan terkejut apabila menemui peluru, pistol dan bom tangan yang masih lagi aktif disembunyikan dalam kepala katil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, UPB dipanggil bagi pemeriksaan sebelum semua barang larangan itu dibawa ke Stor Simpanan Cawangan Persenjataan IPK untuk disimpan dan bom pula akan dimusnahkan esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Katanya, polis kini sedang mengesan seorang lelaki berusia 42 tahun yang mempunyai 16 rekod kesalahan berkaitan dadah bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 3:41pm
d