mutakhir

Bakal calon buat semakan awal - SPR

Oleh BERNAMA

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menggesa semua bakal calon yang berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, supaya mengisi dan membuat semakan awal borang pencalonan mereka.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, semakan awal pengisian borang pencalonan boleh dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Pejabat Majlis Perbandaran Kajang atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum hari penamaan calon.

“Tujuan semakan awal ini adalah memastikan semua bakal calon mengisi borang berkenaan dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelak kesilapan pengisian borang sebelum hari penamaan calon.

“Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Azhar berkata, semakan awal juga memberi peluang kepada parti yang calonnya didapati tidak layak, untuk membuat persiapan sewajarnya pada hari penamaan calon.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon, penyokong atau pencadang kepada pegawai pengurus pilihan raya semasa hari penamaan di pusat penamaan calon, 16 Februari ini.

Katanya, bakal calon turut digesa membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal.

“Bakal calon juga diminta mengambil pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki pusat penamaan calon.

“Ini untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada hari penamaan calon kelak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 3:55pm
    d