mutakhir

Gagal sogok penguat kuasa

Oleh Mohd Hilmie Hussin

LELAKI Bangladesh yang ditahan ketika membeli nombor ekor di sebuah premis judi di Merlimau, Jasin, Melaka beberapa kali cuba menyogok penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Dalam Operasi Judi di seluruh negeri Sabtu lalu, lelaki berusia 28 tahun itu antara lima lelaki yang ditahan termasuk empat lagi warga tempatan dalam serbuan di empat premis judi ekor.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, lelaki Bangladesh itu cuba menyogok penguat kuasa JAIM sebaik masuk ke dalam van.

“Beberapa kali dia cuba menyogok bermula dengan tawaran RM50, namun penguat kuasa memberi amaran supaya tidak berbuat demikian namun diulang beberapa kali.

“Sehinggalah tiba di pejabat JAIM negeri, lelaki itu sekali lagi mencuba dan menawarkan RM300 sebelum anggota saya membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau, Jasin,” katanya hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut ke atas telefon bimbit lelaki itu menemui pelbagai koleksi video lucah sebelum pihaknya sekali lagi membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru.

Sementara itu, Rahimin berkata, Operasi Judi dari jam 9 pagi hingga 2 petang itu menyaksikan empat lelaki warga tempatan berusia 40 hingga 64 tahun ditahan kerana membeli nombor ekor.

“Keempat-empat mereka ditahan di Taman Debunga, Merlimau, Jasin; Jalan Ong Kim Wee, Jalan Tun Perak, Gajah Behrang; Taman Asean dan Sungai Udang.

“Mereka juga diberikan surat perintah hadir di bawah Seksyen 81 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan simpanan koleksi video lucah dalam telefon bimbit milik suspek.

Menurutnya, suspek disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan direman sehingga Rabu ini.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 5:20pm
d