mutakhir

'Adib masih ada dalam van' - Saksi ketiga

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli

ANGGOTA bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim masih berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika jentera Fire Rescue Tender (FRT), yang berada di hadapan van EMRS, berundur dalam kejadian diserang sekumpulan orang awam di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Seafield, Subang Jaya, pada 27 November 2018.

Pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman, 36, berkata, ketika jentera FRT berkenaan berundur, ia seolah-olah menolak kenderaan yang sedang dipandunya.

Beliau yang juga pegawai perubatan berkata, ketika itu Muhammad Adib berada di sebelahnya dan mereka masih berkomunikasi ketika itu.

“Saya masih berkomunikasi dengan Muhammad Adib dan sempat berkata: ‘lajunya si Azim’.

“Namun, dia (Muhamad Adib) tidak jawab sepatah pun,” kata saksi ketiga inkues kematian Muhammad Adib ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah.

Menceritakan lanjut keadaan ketika itu, beliau berkata, Muhammad Adib hanya tercengang dan tangan kanannya memegang papan pemuka hadapan kereta dan tangan kiri di letakkan di pintu van.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 5:41pm
    d