mutakhir

Geng Van Putih tak mengaku salah

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

EMPAT ahli Geng Van Putih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan merompak wang tunai RM1,450 dan telefon bimbit milik lelaki warga Bangladesh.

Tertuduh, Syeikh Muhammad Muaz Thamizudeen, 24; Mohd Azmi Othman, 32; Mohd Syahzilah Mohd Syukri Ong, 34 dan Che Ahmad Adilah Che Zakaria, 28, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap Shajib Hassan iaitu wang tunai RM1,450, sebuah telefon bimbit jenama Samsung dan pasport.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu jam 2.30 petang 18 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah semua tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM12,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan kelicikan Geng Van Putih yang aktif merompak warga asing sejak November lalu berakhir selepas empat ahli kumpulan itu dicekup polis.

Kumpulan yang menggunakan modus operandi menarik dan merompak mangsa di dalam van sebelum ditinggalkan di tepi jalan itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Kuala Terengganu.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 5:45pm
d