mutakhir

Kayu rumah runtuh hempap kepala

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

“KETIKA kejadian, saya fikirkan akan mati apabila kayu di bahagian anjung luar rumah menimpa kepala saya.

“Namun saya gagahkan diri untuk keluar daripada timbunan kayu sebelum bergegas ke rumah saudara meminta pertolongan,” kata wanita warga emas, Admah Nendek, 65.

Rumah didiami Admah antara 64 rumah terjejas akibat dilanda ribut di Sawah Sempadan, Tanjung Karang, petang semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, tiada kehilangan nyawa dilaporkan, namun beberapa kenderaan selain rumah dilaporkan mengalami kerosakan.

Admah ketika ditemui di rumahnya di Blok D Sawah Sempadan, hari ini berkata, ketika kejadian dia bersama anak perempuannya, Siti Aishah Hashim, 35 dan dua cucu berusia enam tahun dan setahun berada dalam rumah.

“Pada mulanya, cuaca hujan dan kebetulan, saya berehat di anjung rumah manakala anak (Siti Aishah) berada di bilik tengah.

“Bagaimanapun, tiba-tiba angin kencang berlaku dan dalam beberapa saat itu ia menerbangkan bumbung serta meranapkan dinding rumah,” katanya yang mendakwa kerugian hampir RM100,000.

Admah berkata, dia terkilan rumah yang didiaminya dalah warisan daripada Allahyarhamah ibunya, Saripah Mat Diar, turut musnah sama sekali dalam kejadian itu.

“Bayangkan, rumah yang berpuluh tahun dibina atas hasil keringat arwah emak habis sekelip mata dan hanya tinggal serpihan kayu serta tiang rumah sahaja.

“Ketika ini, saya menumpang di rumah saudara terdekat sementara menunggu rumah dibina semula yang mungkin mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk disiapkan,” katanya.

Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor berkata, sembilan kampung terbabit dalam kejadian itu membabitkan Kampung Parit Satu, Dua, Tiga dan Empat, Kampung Blok B, I, Kampung C, O dan J, Blok D, K, P, V, Kampung Seri Tiram Jaya dan Kampung Parit Serong.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar turut turun padang ke kawasan berkenaan bagi menziarahi mangsa, hari ini.

Selain bertanyakan khabar, beliau menghulurkan sumbangan peribadi bagi meringankan beban mangsa.

Dalam pada itu, penduduk Yakinah Rahim, 64, yang menetap hampir 40 tahun berkata, dia hampir kehilangan suaminya Abu Talib Daud, 78, yang dihempap dinding kayu sewaktu ribut itu melanda.

“Saya hampir pitam apabila dinding kayu yang berat itu menimpa suami yang berada atas katil.

“Mujurlah anak dan rakan sekampung datang membantu. Alhamdulillah, suami tidak mengalami kecederaan kecuali lebam di bahagian kepala dan bahu kiri,” katanya yang mendakwa kerugian hampir RM50,000.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 6:10pm
d