mutakhir

Janji pada ibu, sempat beri duit belanja

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad

SEORANG daripada 47 tahanan rakyat Malaysia di Penjara Banteay Mancheay, Kemboja, sempat memasukkan wang sebanyak USD1,000 (RM4,069.50) ke akaun ibunya, Masita Mohamad, 48.

Anak Masita, Nur Ridwana Syahzani Hamddie, 21, memberikan wang itu sebagai janji kepada Masita bahawa dia keluar dari Sarawak semata-mata mencari pendapatan lebih tinggi selama tiga bulan sahaja, namun bukan di Kemboja, tetapi di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Nur Ridwana yang ditipu sindiket pemerdagangan manusia, dibawa ke Kemboja, untuk bekerja di negara asing.

Masita berkata, Oktober lalu, anaknya memberitahu mahu bekerja di Kuala Lumpur, namun mulanya dia tidak membenarkannya tetapi Nur Ridwana berkeras untuk mencari rezeki lebih membantu mereka sekeluarga.

Menurutnya, Nur Ridwana turut memaklumkan, dia bekerja di Kuala Lumpur untuk tempoh tiga bulan sahaja dan kembali pulang ke Sarawak selepas itu.

“Saya terkejut bila dia mengatakan sudah berada di Kemboja. Selepas itu, dia hanya berkomunikasi pada bulan sama dengan kakaknya kerana tidak mahu saya bimbang keadaan dirinya di sana.

“Setiap minggu, dia berhubung menggunakan nombor telefon berlainan. Kerap kali cuba berhubung dari Sarawak, namun tidak berjaya,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, di Flat Taman Sri Wangi, Petra Jaya, hari ini.

Fatimah turut meluangkan masa kira-kira 40 minit, memaklumkan perkembangan terbaharu membabitkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja.

Masita ketika mengulas lanjut berkata, anaknya menangis teresak-esak setiap kali berhubung dengan kakaknya kerana tidak mahu dirinya bimbang situasi Nur Ridwana di Kemboja.

“Dia hanya berhubung dengan kakaknya sahaja, dia tidak mahu bercakap dengan saya, mungkin kerana tidak mahu saya mendengar dia menangis. Bermula Disember, Nur Ridwana tidak lagi berhubung dengan kami,” katanya.

Masita berkata, anak keempat daripada lima beradik itu, tidak pernah keluar dari Sarawak dan pernah bekerja di salun di Kuching, hampir setahun.

“Semua kawannya saya kenal, namun kawan yang ingin membawanya keluar bekerja dari Sarawak saya tidak kenal,” katanya.

Katanya, tiada wang pendahuluan dibayar kerana tiket penerbangan ditanggung pihak yang tidak dimaklumkan kepada dirinya.

“Selepas dia memasukkan wang itu ke dalam akaun saya pada penghujung November lalu, saya terus terputus hubungan dan hanya mengetahui dia ditangkap di Kemboja selepas dimaklumkan Konsulat Malaysia di Kemboja pada 21 Januari lalu,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 6:37pm
d