mutakhir

Ibu, keluarga Siti Masitah dipanggil beri keterangan

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

POLIS mengesahkan ibu kanak-kanak perempuan yang dibunuh kejam di ladang kelapa sawit Tanjung Medang Kemahang, Pekan, 30 Januari lalu, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, hari ini untuk membantu siasatan.

Sumber polis berkata, Solihah Abdullah, 35, dibawa ke IPD Pekan pada 3.30 petang untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan pembunuhan anaknya, Siti Masitah Ibrahim, 11.

“Kita panggil untuk rakam percakapan dia (ibu mangsa), ada beberapa anggota keluarga lain turut dipanggil bagi bantu siasatan. Selepas selesai mereka boleh pulang,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, Datuk Othman Nanyan dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini, memaklumkan mangsa dipercayai dibunuh suspek lelaki berusia 23 tahun pada 30 Januari lalu akibat dendam dan marah kepada keluarga mangsa.

Katanya, suspek warga Kemboja yang juga kenalan keluarga mangsa ditahan pada 2 pagi 31 Januari lalu di sekitar Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan beberapa jam selepas ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya.

Mayat Siti Masitah ditemui dalam keadaan tragis dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari di kawasan ladang itu sebelum ditemui penduduk kampung 5 petang Sabtu lalu.

Hasil bedah siasat mendapati mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan parah pada kepalanya.

Sementara itu sumber memaklumkan kepada Harian Metro, suspek membuat pengakuan membunuh mangsa beberapa jam selepas penemuan mayat Siti Masitah.

Sumber memberitahu, pegawai dan anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang kemudian membawa suspek ke lokasi kejadian sebelum lelaki berkenaan menunjukkan kayu yang digunakannya untuk memukul Siti Masitah.

Terdahulu petugas media yang menunggu di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dimaklumkan bedah siasat yang bermula pada 11 pagi hari ini selesai kira-kira empat jam kemudian.

Difahamkan mayat tidak akan dituntut keluarga pada hari ini kerana terdapat beberapa proses yang belum selesai termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Siti Masitah
  • Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 7:21pm
    d