mutakhir

Penghargaan buat wira Pulau Warisan

Oleh Zaid Salim

PENGORBANAN Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, bertukar nyawa dengan lima mangsa yang hampir lemas di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, mendapat pengiktirafan masyarakat yang mengangkat Allahyarham sebagai wira.

Abdul Bari yang ketika itu memancing terjun ke sungai bagi menyelamatkan lima mangsa selepas kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm dinaiki mereka meluncur sebelum terjunam ke sungai kira-kira 9.40 malam, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Allahyarham ketika menyelamatkan mangsa dipercayai mengalami kekejangan otot dan gagal mengawal keadaan sebelum kelibatnya hilang di permukaan air.

Mayat Abdul Bari ditemui kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta orang awam pada 7.23 pagi semalam.

Selain Abdul Bari, lima lagi wira yang sanggup menggadai nyawa mereka dalam insiden sama akan mendapat pengiktirafan apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju menganugerahkan sijil penghargaan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Lima yang lain itu adalah Saiful Anuar Mohd, 37, Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28, Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29, Omar Abdul Aziz Othman, 27, dan Shahrul Mizan Harun, 34.

Penghargaan kepada semua wira terbabit itu akan diadakan dalam satu majlis khas di perkarangan dua jabatan berkenaan.

Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, penyampaian sijil itu akan diadakan di perkarangan JBPM Terengganu pada Mac.

“Penyerahan sijil penghargaan itu akan disempurnakan Ketua Pengarah JBPM pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

“Penghargaan sama turut diberikan kepada Allahyarham Abdul Bari Asyraf,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pengorbanan besar yang diberikan enam wira, termasuk Allahyarham perlu dijadikan contoh kepada masyarakat.

“Mereka wajar diberi penghormatan, jadi saya akan berbincang Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berhubung penganugerahan itu dan mengadakan satu majlis untuk mereka,” katanya.

Kerajaan negeri juga akan menganugerahkan penghargaan untuk Allahyarham sebagai mengenang jasa arwah yang terkorban ketika berusaha menyelamatkan lima sekeluarga serta lima lagi penyelamat lain dalam satu majlis khas.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 9:15pm
d